MUAR 29 Jan. - Malang buat seorang
kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam
oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan
dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.
Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya
dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga
mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.
Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam
perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke
sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3
petang.
Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun,
kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki
kereta lalu melarikannya.
Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat
nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.
Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan
sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam
kereta.
"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menmenurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.
Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke
sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat
maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak
menahannya kira-kira pukul 5 petang.
Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran
darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar
Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.
Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum
melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk
membantu siasatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak
antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit
kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit
dan kebun getah.
Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan
jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan
mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.
Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat.
sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment